Tuesday, March 21, 2006

CAS DAN KESEIMBANGANNYA

Pernah sahabat-sahabat lihat, ada orang rehatnya banyak dan tidurnya lama, tetapi badannya tidak cergas. Ada orang rehatnya sedikit dan tidurnya sekejap tetapi badannya kuat. Pernahkah sahabat berfikir mengapa hal ini terjadi? Sepatutnya orang yang banyak berehat badannya lebih sihat daripada orang yang bekerja kuat dan rehatnya sedikit.

Kita selalu menyangka apabila kita terlalu menggunakan otak dalam kegiatan harian kita, kita akan mudah sakit kepala, otak akan sakit dan fungsi keberkesanannya akan berkurangan. Walaupun hal ini kadangkala ada benarnya, realitinya bukanlah begitu. Otak semakin digunakan ia akan semakin efisyen. Otak yang lemah adalah otak yang terbiar dan jarang digunakan untuk berfikir, mengingat dan mengenali penciptanya.

Kita lihat pada contoh sebuah kereta yang mengalami kerosakan apabila enjinnya tidak dihidupkan untuk jangka masa lama. Ia akan semakin rosak jika hanya dihidupkan tanpa dipandu. Prestasinya juga akan menurun jika ia tidak pernah dipandu laju. Ini bermakna semakin kerap sesebuah kereta itu dipandu ia akan berada dalam keadaan yang semakin baik, meskipun beberapa hal akan mengalami kesusutan.

Demikianlah otak dan keseluruhan badan kita. Semakin kerap otak digunakan untuk berfikir, menyimpan ilmu dan dibawa mengenal penciptanya, ia semakin terlatih dan cekap. Semakin lama tidak digunakan, ia semakin lemah dan hilang wibawa.

Sebenarnya sahabt-sahabat, keseluruhan badan kita mengalami keadaan yang sama. Semakin lama jari-jari tidak digunakan untuk mengetuk papan kekunci komputer, semakin hilanglah kemahirannya. Setelah setahun tidak menulis menggunakan komputer, jari-jemari akan menjadi "kaku". Kita gagal menggunakan fungsi jari pada satu-satu huruf. Pada hal sebelumnya kita boleh menaip tanpa melihat papan kekunci pun.

Cuba kita kaitkan sola pergerakan tubuh dan penggunaan otak secara kerap dengan kewajipan yang mesti dilakukan oleh setiap orang Islam yang mukallaf dalam hidup mereka. Kewajipan yang dimaksudkan itu ialah kewajipan sembahyang fardu lima kali sehari.

Kajian tentang sembahyang telah dilakukan oleh seorang profesor dari Amerika. Beliau bukan sekadar mengkaji sembahyang itu bahkan tentang perintah berjemaah sekali. Beliau mencari sebab mengapa Islam mementingkan berjemaah apabila sembahyang. Kajiannya mendapati tubuh manusia mengandungi dua cas elektrik iaitu cas positif dan cas negatif.


Menurut profesor berkenaan, dalam aktiviti harian seseorang manusia, proses pembakaran tenaga akan berlaku. Dalam proses ini berlaku pertukaran cas antara positif dengan negatif. Akibatnya berlaku ketidakseimbangan cas dalam tubuh. Cas-cas ini perlu diseimbangkan semula untuk mengembalikan kesegaran tubuh ke tahap normal.

Kajian ini menunjukkan sembahyang berjamaah itu dan jumlah rakaat yang berbeza-beza antara solat dengan solat yang lain akan menyeimbangkan cas-cas berkenaan. Dalam sembahyang berjemaah, makmum perlu meluruskan barisan, digalakkan bertemu bahu dan bersentuhan hujung jari kaki. Cas yang berlebihan, sama ada negatif atau positif akan dikeluarkan dalam keadaan begini manakala yang berkurangan akan ditarik ke dalam badan. Semakin lama sentuhan ini berlaku, semakin seimbanglah cas-cas yang dikeluarkan ataupun ditarik ke dalam.

Beliau menyatakan, apabila kita tidur, tubuh kita mengandungi cas-cas positif dan negatif yang hampir seimbang. Justeru itu, kita hanya memerlukan sedikit lagi proses pertukaran cas agar keseimbangan penuh dapat dicapai. Sebab itu, sembahyang Subuh hanya dua rakaat.
Setelah sehari suntuk bekerja keras dan memerah otak, semua cas kembali tidak seimbang. Dengan sembahyang berjamaah sebanyak empat rakaat, hal ini dapat diperbetulkan. Empat rakaat bererti memberi ruang yang lebih kepada proses pertukaran cas.


Situasi yang sama berlaku pada sebelah petang tatkala banyak tenaga dikeluarkan untuk menyambung kembali tugas. Sekali lagi kita kehilangan banyak cas. Dengan hukum supaya mengerjakan sembahyang Asar sebanyak empat rakaat itu, tubuh kita mendapat peluang untuk mendapat cas-cas yang diperlukan.

Selalunya pada waktu sebelah malam kita kurang pula menggunakan tenaga. Antara waktu Maghrib membawa ke Isya' masa yang ada hanya kira-kira sejam. Maka sembahyang Maghrib dilakukan hanya tiga rakaat. Kemudian timbullah persoalan difikirkan profesor berkenaan tentang sembahyang Isya'. Mengapa ia mesti dilakukan sebanyak empat rakaat sedangkan pada waktu itu kita tidak lagi melakukan aktiviti-aktiviti yang memerlukan pertukaran cas yang banyak.

Keistemewaan empat rakaat pada waktu Isya' akan menstabilkan cas serta memberi tenaga untuk kita bangun malam bagi mengerjakan qiamulail. Tanpa ragu-ragu beliau mengatakan betapa agama Islam itu sangat lengkap dan istimewa sekali. Bagi orang yang mahu berfikir dan menggunakan otak, dia akan mempelajari banyak perkara tetapi orang yang malas akan hanya menimbunkan kebebalannya.

Oleh itu, kita boleh simpulkan bahawa semakin banyak kita menggerakkan tubuh mengikut keperluan dan kesesuaian maka akan semakin cemerlang dan hebatlah kita, sebaliknya semakin malas kita melakukan apa-apa akan semakin lemah dan bekulah kita. Semakin kerap kita menggunakan otak untuk berfikir, mengingat dan mengenal penciptanya akan semakin cemerlanglah otak kita. Sebaliknya semakin malas kita menelaah semakin bebal dan lemahlah kita.

Pilihan sentiasa terletak di tangan kita sendiri.

(PSIKOLOGI)


p/s: kajian menurut profesor dari Amerika....maaf andai ada kesilapan..

0 Comments:

Post a Comment

<< Home