Thursday, February 01, 2007

KEBAIKAN DAN KEBURUKAN

Tentu ramai di kalangan pembaca telah tahu apa itu kebaikan dan kejahatan. Ketika di sekolah rendah lagi dan saya berada dalam darjah empat di sekolah Agama, saya telah dibentangkan dengan Surah al-An'am ayat:160 tentang ganjaran amalan baik dan buruk. Ketika itu, ustazah kerap menyuruh kami menghafaz ayat tersebut dan terjemahannya bagi setiap satu kalimah. Setiap kali ustazah masuk kelas mengajar subjek tafsir, pasti ada sahaja di antara kami yang akan disoal olehnya samada menyambung ayat, sebutkan terjemahan atau tulis di papan hitam. Seandainya tidak dapat melakukan, akibatnya satu cubitan hinggap di lengan pelajar-pelajar.

Kini saya bertemu pula dengan sebuah hadith yang berkaitan dengan amalan baik dan buruk. Cuma, pada kali ini saya tidak dicubit seandainya tidak menghafaznya tapi seandainya saya tidak mengambil pengajaran dan faedah yang terdapat di dalamnya, saya adalah seorang yang rugi. Ingin saya kongsikan kepada sahabat-sahabat, bahawa bagi setiap perbuatan baik yang dilakukan mendapat 10 ganjaran kebaikan yang seumpamanya dan digandakan hingga 700 kali ganda. Kebaikan diertikan dengan setiap perkara baik pada diri, badan, dan keadaan individu. Allah telah berfirman dalam surah an-Nisa' ayat:79, terjemahannya: Apa-apa kebaikan yang kamu perolehi adalah daripada Allah dan apa-apa kejahatan yang menimpamu adalah dari sebab dirimu sendiri.

Kesan melakukan kebaikan

* Perbuatan baik adalah perbuatan yang besar untuk mendekatkan diri kepada Allah. Apa jua perbuatan baik ia adalah wasilah untuk dekat dengan Allah.

* Sebagai sebab bagi menghalang daripada berlaku kemurkaan dan kemarahan Allah.

* Menjadikan hati dan wajah bercahaya serta kuat pada Agama.
Ibnu Abbas telah berkata: Bahawa kebaikan itu menerangi wajah, bercahaya pada hati, meluaskan rezeki, kuat pada badan dan kasih sayang dalam hati.

* Kebaikan membawa manusia kepada golongan yang baik kerana apabila baik hatinya maka akan melarang diirnya dari membuat maksiat.

* Menghasilkan pahala yang besar.

* Menghalangnya daripada keburukan di dunia dan akhirat.

* Mendapat darjat di sisi Allah dan pengampunan serta rezeki yang mulia.

* Allah memerintahkan kepada para malaikat untuk menetapkan hati-hati orang mukmin.

* Terangkat di dunia dan akhirat.

* Allah menjadikan kepada mereka yang beriman dan beramal solih ini kasih sayang.

Manakala, kejahatan adalah semua perkara yang menyusahkan hati manusia dunia, akhirat, daripada keadaan diri, badan, harta dan sebagainya. Bahawasanya, kejahatan itu menghitamkan wajah, menggelapkan kubur dan hatinya, lesu pada badan, kurang rezeki dan boleh mendatangkan kemarahan hati.

Sesungguhnya, besarnya kelebihan Allah ini, setiap amalan kejahatan hanya ditulis satu kejahatan dan tidak digandakan seperti firman Allah pada ayat 160 surah al-An'am: "Barangsiapa yang datang dengan membawa satu kejahatan, maka tiadalah ia dibalasi, melainkan dengan seumpamanya." Kejahatan hanya berganda pada masa, tempat dan bertambahnya orang yang melakukan kejahatan tersebut.

Asal pada kesalahan atau kata lainnya, keburukan itu berkaitan dengan hubungan hati selain daripada Allah seperti syirik, taat pada kekuatan marah iaitu terlalu mengikut nafsu marah seperti membunuh dan taat kepada kekuatan syahwat seperti berzina. Firman Allah dalam ayat: 68 surah al-Furqan, terjemahannya: "Dan orang-orang yang tiada menyembah Tuhan lain bersama Allah, dan tiada pula membunuh manusia yang diharamkan Allah, kecuali dengan kebenaran dan tidak pula mereka berzina. Barangsiapa yang perbuat demikian, nescaya akan menemui dosa."

Sesungguhnya maksiat atau perbuatan buruk ini memberi kesan pada diri dan hati yang mana ia lebih besar dari racun. Di dalam Quran juga ada menyebutkan tentang dosa kecil dan dosa besar. Sahabat saya ada menyampaikan kepada saya sepotong hadith atau kata-kata, saya kurang pasti, bunyinya begini..."Jangan kita lihat pada kecilnya kesalahan tapi lihatlah pada maksiat yang dilakukan".

Apakah kemudharatan maksiat?

* Hilang kasih sayang di antara individu dengan Allah dan dengan manusia.

* Timbul perkara yang menyusahkan.

* Gelap hatinya.

* Menghilangkan ketaatan. Sesungguhnya ketaatan membawa kepada ketaatan dan maksiat akan mewarisi maksiat yang membawa kepada maksiat yang lain.

* Menghilangkan keberkatan hidup.

* Sebab hinanya seorang hamba di sisi Allah.

* Bahawa maksiat mewarisi kehinaan.

* Maksiat akan merosakkan akal dan menghilangkan cahaya.

* Banyaknya tanda pada hati, dan itu adalah tanda orang yang lalai.

Lantaran itu, kita mesti selalu tajdidkan niat, selalu berniat untuk melakukan amal baik dan berterusan padanya. Ke mana sahaja kita pergi dan apa sahaja perbuatan kita biarlah beserta dengan niat dan niat itu biarlah niat baik.

Di antara cara untuk kita capai cita-cita bagi melakukan amalan kebaikan dan istiqomah padanya ada beberapa perkara:

1) Buang segala yang buruk pada diri dan gantikan dengan perkara yang baik.
2) Sentiasa bermujahadah dan berdoa mohon kekuatan dan petunjuk dari Allah.
3) Hidup berlandaskan Quran dan Sunnah.
4) Bercampur dengan ulama', auliya' dan para solihin.

Sesungguhnya besarnya rahmat Allah ini, menggandakan setiap kebaikan dan tidak menggandakan setiap keburukan yang dilakukan di mana setiap satu keburukan hanya ditulis satu keburukan yang seumpama dengannya. Malah, bagi sesiapa yang berniat untuk melakukan sesuatu kebaikan tapi tidak melakukannya, ditulis untuknya satu kebaikan dan seandainya dia melakukannya maka ditulis untuknya 10 kebaikan hingga 700 kali ganda. Bagi sesiapa yang berniat untuk melakukan kejahatan tapi tidak melakukannya, ditulis padanya satu kebaikan dan sekiranya dia melakukannya, maka ditulis padanya satu kejahatan dan tidak digandakan. Sesungguhnya sesiapa yang meninggalkan sesuatu kejahatan kerana Allah, baginya pahala dan Allah gantikan padanya itu satu kebaikan.

Sesungguhnya manusia diberi oleh Allah 3 anugerah berharga iaitu: Akal, Hati dan Nafsu. Pimpinlah ia sebagaimana kamu memimpin diri, kawallah ia sebagaimana yang dipandukan Agama dan syari'at. Oleh itu, sentiasalah melakukan amalan yang baik beserta dengan niat kerana setiap amalan dinilai daripada niatnya. Marilah sentiasa muhasabah diri dan perbaiki niat, moga-moga kita tergolong di kalangan hamba Allah yang solih dan solihah....Amin


p/s: saya budak baru belajar..mungkin banyak kesilapan..mohon petunjuk daripada sahabat pembaca..

ADAB MENZIARAHI ORANG SAKIT

1) Niat yang baik
2) Berdoa untuknya dengan ikhlas
3) Datang pada waktu yang sesuai
4) Tidak menghadap ke arah pintu ketika minta izin untuk masuk
5) Jangan buka pintu luas-luas
6) Pekenalkan diri ( Perkenalkan nama )
7) Tidak duduk terlalu lama
8) Tundukkan pandangan (Menjaga pandangan dari memandang merata di dalam rumah pesakit)
9) Sedikitkan soalan
10) Rendahkan diri
11) Beri harapan kepadanya dengan harapan semoga pesakit cepat sembuh
12) Ingatkan pesakit jangan risau dengan kesakitan dan sabarkan serta tenangkan hatinya